
Di saat manusia berlumba-lumba menikmati kejayaan, kekayaan dan kemewahan di dalam kehidupan, tidak dapat dinafikan masih terlalu ramai di kalangan masyarakat kita yang jauh ketinggalan dan tidak direzekikan untuk berjaya mengubah taraf kehidupan walaupun berbagai usaha telah dijalankan. Selain daripada itu ada juga yang ditakdirkan kehilangan ibu dan ayah untuk bermanja di waktu usia masih kecil lagi.
Saban hari kita dipaparkan dengan pelbagai kisah keperitan dan penderitaan insan-insan yang malang ini. Kadang kala penderitaan mereka itu sampai ke tahap yang amat memilukan sehingga tidak pernah terfikir oleh kita di zaman yang serba maju dan moden ini, masih wujud golongan yang terlalu dhoif, hingga melarat serta terpaksa menahan kelaparan, dan berhujan dan berpanas kerana tiada tempat tinggal yang sempurna.
Alangkah makmurnya dunia ini, jika semua insan begitu peka dengan permasalahan ini. Dia sentiasa ingin nikmat yang dimilikinya turut sama dirasai oleh golongan yang menderita. Bumi ini akan aman bahagia jika ada insan yang turut merasa derita dengan penderitaan orang lain dan turut bersusah payah menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh golongan yang kurang bernasib baik ini.
Beruntunglah kita jika ada manusia yang memiliki hati yang gembira bila ada orang yang datang meminta pertolongan dengannya, kerana dia tidak pernah rasa senang dan tenang dalam kemewahan selagi ada orang lain yang masih dalam kepayahan dan keperitan untuk meneruskan kehidupannya. Hingga dia sanggup mengorbankan kepentingan dirinya dan bersusah payah untuk menyelamatkan, mengembirakan dan membela insan-insan yang menderita.
Inilah yang memang sepatutnya dirasa oleh kita semua, tanpa mengira bangsa dan agama. Tanggung jawab ini sudah menjadi kewajipan kita bersama. Hari ini mungkin hari dia tidak mustahil esok kita pula berada di tempat mereka. Hakikatnya Tuhan menjadikan kedua-dua golongan iaitu yang kaya dan yang miskin ini ada hikmahnya.
Sebenarnya kita saling perlu memerlukan Jika tiada seorangpun fakir miskin di dunia ini, tiadalah peluang untuk golongan kaya mendapat pahala dengan menyumbang, bersedekah, memberi zakat dan bantu menbantu.
Adanya golongan fakir miskin dan lain-lain golongan yang susah ini sebenarnya menjadi penyebab dan laluan untuk yang kaya mendapat berbagai-bagai ganjaran dan pahala kerana dapat menggunakan harta yang dimilikinya untuk berbuat berbagai-bagai kebaikan dan kebajikan sementara hayat dikandung badan.
Justeru itulah kami ingin mengambil inisiatif ini untuk mengajak anda untuk berganding bahu di dalam menjayakan sebuah pusat kebajikan dan pendidikan yang dinamakan Rumah Penyayang Hembusan Kasturi (RPHK). |